Friday, 14 October 2011

Setangkai Mawar Cinta


alt
Setangkai mawar cinta untuk pencinta kebenaran,
Seluhur budi bicara sebagai tanda ingatan,
Segunung intan permata tidak ku mampu tunaikan,
Untuk membuktikan keikhlasan..
Hanya untuk dirimu yang bernama teman,
Ku ukirkan kenangan indah kita,
Untuk dijadikan perhiasan hati,
Ku lagukan kata-kata terindah.
Sebagai peneman di kala sunyi,
Memori yang tercipta antara kita,
Aku sematkan dalam album jiwa,
Penuh kenangan kita bersama.
Gurauan manja menyerikan suasana,
Seperti pelangi yang menyerikan dunia,
Ah.. begitu indah ukhuwah kita kan?
Semuanya kerana Berkat dan Rahmat Tuhan.
Tiada amarah yang tersulam antara kita,
Segala teguran diterima dengan hati yang terbuka,
Malah, terselit rasa syukur tidak terhingga,
Kerana.. Allah memberi kau sebagai teman yang setia.
Menasihati saat aku terleka dengan godaan dunia,
Menggembirakan diriku pabila duka menghimpit jiwa,
Kau tulus menghulurkan persahabatan,
Untuk keredhaan Allah dalam kehidupan.
Bersamalah kita berjuang demi menegakkan kebenaran,
Bukan kerana nama sebagai pahlawan,
Namun, sebagai makhluk yang mengingati Tuhan.
Setangkai mawar cinta aku lakarkan,
Kepada dirimu pencinta kebenaran,
Sebagai keikhlasan yang kau berikan,
Hanya kerana Allah dan Rasul junjungan.

Mengapa Harus Menutup Aurat


Tidak berhijab dan mempamerkan perhiasan akan mengundang fitnah bagi lelaki. Seorang wanita apabila mempamerkan bentuk tubuh dan perhiasannya di hadapan lelaki bukan mahram, jelas akan mengundang perhatian kaum lelaki yang berhidung belang dan serigala berbulu domba.
alt

Jika ada kesempatan mereka pasti akan mencari mangsa dengan ganas laksana singa sedang kelaparan.
Seorang penyair berkata:
"Berawal dari pandangan lalu senyuman kemudian salam disusul pembicaraan lalu berakhir dengan janji dan pertemuan."
Sesungguhnya Allah memerintahkan hijab untuk menghilangkan pelbagai macam fitnah (kerosakan). Jika pelbagai macam fitnah redup dan lenyap, maka masyarakat yang dihuni oleh kaum wanita berhijab akan lebih aman dan selamat dari fitnah.
Sebaliknya, masyarakat yang dihuni oleh wanita yang gemar bertabarruj (berdandan secara berlebihan), dedah aurat dan keindahan tubuh, sangatlah mudah terjebak dengan ancaman pelbagai fitnah dan gangguan seksual serta nafsu syahwat yang membawa malapetaka dan kehancuran yang sangat besar.
Jasad yang menampakkan bentuk tubuh badan akan jelas memancing perhatian dan pandangan kaum lelaki. Itulah tahap pertama bagi penghancuran dan kerosakan moral dan peradaban sebuah masyarakat.
"Sungguh akan merasakan manisnya Iman, seseorang yang telah rela Allah sebagai Rabb, Islam sebagai agama, dan Muhammad sebagai Rasul utusan Allah."(HR Muslim)
"Setiap umatku (yang bersalah) akan dimaafkan, kecuali orang yang secara terang-terangan (berbuat maksiat)."(Hr.Bukhari)
Sementara wanita yang mendedahkan aurat dan keindahan tubuh sama ertinya dia telah berani menampakkan kemaksiatan secara terang-terangan.
Jangan menelanjangi diri dengan berpakaian ketat atau sempit.
Bagaimana kita menyayangi orang lain sedangkan diri sendiri tidak mampu kita sayangi.
Sudahkah anda berhijab?
Kebenaran hanya milik Allah.

Sunday, 9 October 2011

Roti Daging


Img_0296


Bahan-bahan ( 4-5 orang )

  • 1 bungkus daging cincang
  • 2 biji kentang (dipotong dadu)
  • 1 biji bawang besar (dipotong dadu)
  • 1 biji bawang merah *
  • 3 ulas bawang putih *
  • 1/2 inci halia *
  • secubit serbuk perasa & gula
  • sos cili life & sos lada hitam
  • 1 sudu cili kisar
  • 1/2 bungkus biskut salted cheese
  • cheese (ikut suke nk letak berapa bnyk)
  • minyak masak

Cara-cara

  1. Bersihkan daging dan toskan
  2. Perapkan daging dan kentang dgn bahan yang bertanda * (dikisar halus), cili kisar, sos cili life, sos lada hitam, serbuk perasa & gula dan gaulkan sehingga sebati
  3. Panaskan minyak dalam kuali, dan tumis bawang besar yg telah dipotong dadu sehingga kekuningan dan naik bau
  4. Masukkan daging yang telah diperap selama 15-20 min. Tambahkan sedikit air untuk mempercepatkan masakan. Gaul rata sehingga daging betul2 masak dan kemudian alihkan ke dalam bekas
  5. susun kepingan biskut salted cheese ke dalam bekas (untuk dikukus) dan diikuti lapisan daging. Ratakan lapisan daging dan taburkan cheese diatasnya. Ulang 3 lapisan ini sehingga daging habis. Pastikan lapisan atas sekali diakhiri dengan biskut salted cheese dan ditaburkan dgn cheese
  6. Roti daging sedia untuk dikukus selama 30-45 minit. Selamat mencuba :)
  7. Nota kaki: boleh juga gunakan crackers tapi untuk rasa yang lebih sedap dan lembut, sy prefer untuk gunakan biskut salted cheese =)

10 Pembasuh Dosa & Penawar Hati


alt

Hassan al-Basri r.a. berkata: "Ketika saya berkeliling di jalan-jalan kota Bashrah dan di pasarnya dengan seorang pemuda ahli ibadah, tiba-tiba saya melihat seorang tabib yang sedang duduk di atas kerusi."
Dia dikelilingi oleh laki-laki, perempuan dan anak-anak.
Di tangan mereka masing-masing terdapat gelas yang berisi air. Mereka meminta petua dan ubat untuk penyakitnya.
Kemudian, pemuda yang bersamaku maju ke depan tabib, lalu dia berkata:
"Wahai tabib, apakah kamu punya ubat yang mampu membersihkan dosa dan menyembuhkan penyakit hati? "
Kemudian, si tabib itu menjelaskan:
"Ambillah sepuluh macam ramuan: 
  1. Ambillah akar pohon fakir bersama akar-akar pohon tawaddhu' (kerendahan hati),
  2. Campurkanlah padanya tumbuhan taubat,
  3. Taruhlah ke dalam bekas keredhaan,
  4. Tumbuklah dengan penumbuk qana'ah,
  5. Masukkan dalam kuali taqwa,
  6. Lalu tuangkanlah padanya air malu,
  7. Didihkanlah dengan api mahabbah,
  8. Tuangkanlah ke dalam gelas syukur,
  9. Kemudian kipaslah dengan kipas harapan,
  10. Lalu minum dengan sudu pujian.
Sesungguhnya jika kamu mengerjakan hal itu, maka akan menjadi ubat bagimu dari semua penyakit dan bencana di dunia dan di akhirat." - Dipetik daripada Kitab Nashaihul 'Ibad, Imam Nawawi.

Dunia Kita Ada Noktahnya


Adakala, kita merasakan kehidupan ini akan berterusan tanpa hujungnya. Lalu, jiwa kita terasa selesa dengan kesenangan dunia. Adakala, kita menempa jaya demi jaya dalam mendaki kemuncak tertinggi di dalam jiwa. Lantas, timbul rasa dunia itu milik kita selamanya. Ketika itu kita lupa bahawa kehidupan kita ini ada titik noktahnya. Bahkan, kita melupakan tempat kembali kita yang hakiki.
alt

Ketika itulah, ketika jiwa terputus hubungan dengan yang menjadikannya serta mengurniakannya kehidupan, lalu jiwa kita menjadi kering dan hilang kepekaan. Lalu kita menyangkakan keseronokan itu kebahagiaan dan nafsu itu jalan menujunya. Kita teraba-raba mencari ketenangan lalu kita temui keserabutan.
Kita mencari kelapangan lalu kita menemui kesempitan jiwa . Kita sudah lupa hakikat diri dan kesementaraan hidup ini, hingga kita hanya melihat kesalahan pada manusia lain. Kita juga menyalahkan takdir untuk segala petaka yang hadir.
Melupakan mati adalah kematian jiwa. Manakala mengingatinya adalah kehidupan yang sebenar. Mengingati kematian tidak menjadikan kita cetek pemikiran atau pendek akal, bahkan kita dapat menghayati keluasan kehidupan. Kematian adalah peringatan untuk setiap kelalaian dan guru bagi setiap kejahilan. Mengingati kematian menjadikan jiwa kita hidup dan penuh harapan serta mewarnai hidup dengan perjuangan. Mengingati kematian adalah penghubung jiwa kepada sumber segala kehidupan; Allah Rabbul Jalil, Tuhan sekalian alam.
Mengingati mati adalah sumber kekayaan jiwa hingga kita tidak lagi lemah menghadapi kehidupan berserta halangannya.
"Sesiapa yang ingin terus 'hidup' harus memiliki sebanyak mungkin kekayaan jiwa. Inilah kunci-kunci untuk membongkar segala kelemahan. Semua ini akan menjadikan jiwa kita tenang dalam kesibukan, tersenyum dalam kesedihan, jiwa mapan di bawah tekanan, bergerak dalam kepayahan, optimis mendepani halangan dan gembira dalam segala kesulitan."
Jiwa yang hidup adalah jiwa yang sedar kekerdilan dirinya di depan Allah S.W.T, lalu dia menjadikan seluruh hidupnya sebagai ketundukan dan kepatuhan. Dia sentiasa memperbaharui keimanan, keikhlasan, keberanian, kesabaran dan keteguhan jiwa. Lalu jiwanya mampu istiqamah ketika mengharungi hari-hari dimana jiwanya kadang-kadang terasa sunyi dan bersendiri.
Pada ketika itulah jiwanya akan mendapati kemudahan dalam setiap kesukaran, kelapangan dalam setiap kesempitan. Apabila dia berkata-kata, maka kata-kata itu sampai pada hati-hati manusia. Apabila dia beramal maka amalannya menjadi contoh pada jiwa manusia. Apabila dia muncul dikhalayak ramai maka mata-mata tertumpu padanya lalu ketenangan hatinya mengalir masuk ke jiwa-jiwa yang keresahan dan dahagakan keimanan.

Nasihat Emak vs Nasihat Boy Friend

alt


Pada hari ini, ramai perempuan yang ada kekasih hati ataupun yang ada jejaka idaman lebih suka dengar nasihat kekasih hati mereka daripada mendengar nasihat ibu sendiri.
Sedar tidak sedar umur sudah meningkat. Kehidupan yang selama ini ditanggung oleh ibu bapa makin dilupai.
Hadir pula insan baru dalam hidup. Kekasih yang disayangi dan dicintai sepenuh hati.
Ketika itu mulalah lupa diri. Ibu bapa entah ke mana.
Sedangkan semasa kecil dahulu bagai menatang minyak yang penuh ibu bapa menjaga dan memelihara sehingga kita menginjak dewasa.
Oleh itu, mana yang patut kita utamakan selepas Allah dan Rasul?
Kekasih hati atau ibu bapa kita?
Situasi 1:
Mak: Minah, masakkan nasi goreng untuk mak. Mak lapar nak. Teringin benar makan masakan kamu.
Minah: Laa, Minah penat ni.
Mak: Hmm..Alahai anak aku.
****
Mamat: Sayang, abang laparlah. Tiba-tiba terasa nak rasa masakan sayang. Harini masaklah untuk abang, boleh?
Minah: Boleh B. Sekarang jugak ayang masak (dengan tersenyum).
Mamat: Sayang awak lebih (gaya miang).

Situasi 2:
Mak: Minah, janganlah keluar malam-malam. Tak elok. Anak dara keluar malam. Apa kata dek orang nanti. Nanti jadi apa-apa kat kamu, siapa yang susah, mak jugak.
Minah: Mak ni membebel je. Orang bukan pergi mana pun, nak jumpa mamat kejap je. Hish!
Mak: Alahai anak aku.
****
Mamat: Yang, abang hari ni duk jauh, ada kerja kat KL. Sayang kat kampung tu janganlah keluar malam-malam pulak. Waktu abang tak ada ni, jaga diri ye sayang.
Minah: Baiklah B, I ikut cakap you. Love you.

Situasi 3:
Mak: Minah, kenapa pakai baju ketat melekat ni? Malu mak tengok. Bahaya nak pakai macam ni, nanti orang lelaki gatal buat kacau.
Minah: Mak ni bising la. Orang taulah apa orang buat. Mak, orang dah masakla dengan perangai lelaki kat luar sana.
Mak: Alahai anak aku.
****
Mamat: Yang, you pakai jean and baju seksi ni cantik tau. Tergoda i tapi i harap you pakai macam ni depan i je boleh? Jangan pakai depan lelaki-lelaki lain, bahaya yang.
Minah: Ops, ye ke you tergoda? Hehehe. Ok B. I akan pakai depan you je. Mulai hari ni, I akan ubah penampilan I demi you.

Situasi 4:
Mak: Minah, Mak rasa kamu kahwin je la dengan si mamat tu cepat-cepat. Muak mak tengok keluar dengan jantan tanpa ikatan, melayan call dari jantan bukan mahram. Mak tak berkenan dengan gaya kamu nak.
Minah: Mak ni kan, suka sangat tak puas hati dengan gaya hidup orang. Tau la mak jeles!
Mak: Alahai anak aku.
****
Mamat: Yang, tak sabar pulak rasanya nak kahwin dengan sayang. Jom kita kahwin nak? (Ajak-ajak ayam)
Minah: Weeee..I pun tak sabar nak kahwin dengan you, esok jugak I sanggup kahwin dengan you.

Situasi 5:
Mak: Hari-hari mak tengok minah bersembang dan bermesej dengan Mamat. Cakap pulak romantik. Nak, kita bercakap dengan lelaki bukan mahram dalam telefon macam tu tak elok nak.
Minah: Mak ni kan, tolonglah faham. Jangan sibuk urusan orang boleh tak? Orang cintakan Mamat. Biarlah, tau la zaman mak dulu tak ada handphone!
Mak: Alahai anak mak.
****
Mamat: Betul la. Abang tak ada perempuan lain, sumpah abang tak tipu!
Minah: B tipu, I nampak you jalan dengan betina tu! Tipu!!!
Mamat: Dahla, kalau tak percaya sangat putus jelah hubungan! Tak payah call-call and mesej-mesej dah!
Minah: ??????
-The End-

Maka, di manakah keberkatan kita andai pesanan mak dan ayah tidak dituruti. Tetapi, pesanan kekasih hati terlalu diikutkan sangat, inilah pengakhirannya.
Oleh itu, kita fikirkanlah sendiri. Adakah kita mendambakan kehidupan yang bahagia atau merana?
Ingatlah, redha Allah terletak pada redha kedua ibu bapa. Bukan pada kekasih hati.