Saturday, 22 October 2011

Sedih Bukan Penyelesaian


alt


Dunia ini penuh dengan cabaran dan pancaroba. Walau sepahit mana sekalipun, hidup perlu di teruskan selagi hayat di kandung badan.
Jika hari ini kita susah, usah merungut kerana ada yang kehidupannya kurang bernasib baik dari kita. Jangan kita memandang orang yang berada di atas, kelak kita sendiri yang akan binasa kerana terlalu menginginkan hidup yang mewah.
Tetapi pandang orang yang berada di bawah kita dengan penuh hikmah kerana ia akan menjadikan kita lebih bersyukur kerana kehidupan kita lebih baik dari orang lain.
Allah S.W.T berkuasa ke atas hamba-hambanya. Allah S.W.T maha bijaksana dalam mengatur yang terbaik untuk hamba-hambanya. Kita sebagai manusia jangan mudah berputus asa dalam memohon keampunan dan pertolongan dari-Nya.
Anggap musibah yang melanda sebagai ujian kerana Allah sedang menguji keimanan dan ketaqwaan hamba-hambanya.
Allah S.W.T berfirman :
"Dan sungguh akan kami  berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan.Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar". (Al- Baqarah : 155)
Hadapi musibah itu dengan hati yang tenang dan redha. Jangan kita mudah berputus asa dan bersedih setiap hari mengenangkan nasib. Musibah yang menimpa kita itu akan menjadikan kita kuat dan matang. Ujian yang Allah berikan juga akan mendidik kita untuk mendekatkan Diri kepada yang maha esa.
Mungkin salami ini kita lalai dalam mengingatinya. Dengan ujian yang melanda, akan membuatkan kita dekat kepada-Nya dengan berdoa dan kembali kepada jalan yang diredhai.
Berdoalah kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya doa itu adalah senjata bagi orang mukmin.
Firman Allah S.W.T :
"Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya aku perkenankan doa kamu". (Al- Mukmin : 60)
Jangan terlalu bersedih atas musibah yang melanda kerana apabila Allah menguji hambanya, itu bermakna Allah sayang kepada hambanya. Kuatkan hati dan bangkit bangun dari kesedihan kerana dengan bersedih tidak dapat menyelasaikan masalah. Katakan lah pada diri "masih ada hari esok untuk aku".
Jadi, bangkit lah untuk menjadi lebih kuat dan terus kan hidup ini dengan membuat sesuatu yang terbaik.
Walau apa pun ujian yang melanda, ingatlah bahawa Allah S.W.T sentiasa bersama kita selagi kita ingat kepada-Nya. Kita tidak pernah keseorangan dalam kehidupan ini kerana Allah itu dekat dengan kita. Dekatkan lah diri kita kepada Allah dengan mendirikian solat dan berzikir. Cari teman untuk berkongsi masalah.
Ikhlaskan hati dan redha dalam menghadapi musibah itu akan menjadikan kita tenang. Renungkan kembali, mungkin musibah yang melanda adalah kifarah dosa kita yang lalu. TEKAD UNTUK TIDAK MENGULANGINYA.
Bersabar dalam menghadapi musibah, itu adalah yang terbaik. Jangan terburu-buru membuat sesuatu yang boleh memudaratkan diri sendiri. Isi masa yang terluang dengan perkara yang berfaedah seperti bersukan, membaca buku-buku motivasi, solat sunat dan bertadarus. Semua ini akan membuatkan kita lupa pada masalah yang sedang kita hadapi.
Jangan berputus asa dalam memohon rahmat dan keampunan Allah S.W.T. Jangan biarkan hidup hancur akibat tidak sabar, Keluarga akan hancur akibat emosi yang berpanjangan dan pekerjaan menjadi kacau akibat tidak pandai mengatur.

Kerinduan Malam


alt

Syahdu ini mendatang lagi,
Terpinga-pinga aku diulit mimpi,
Kian jernih kian nyaman,
Mengaburi setiap langkah serta ruang.
Malam ini dalam lagi,
Sungguh indah berseri-seri,
Di terangi cahaya rembulan,
Jauh meninggalkan awan.
Malam ini,
Aku teringat satu kisah lalu,
Satu kisah yang menerbit di pipi,
Yang datang menghinggap memori.
Waktu dulu...
Kisah ini berlaku takkala umur dan usia ini masih bergelar belasan tahun. Afif merupakan seorang pelajar cemerlang baik dari segi pencapaian akademik mahupun akhlaknya. Sikapnya yang sering mengalah, lemah lembut, menghormati orang lain membuatkan sesiapa sahaja yang berada di sekitarnya akan berasa senang dan selesa sehinggakan dalam diam dan tidak, Afif telah diminati oleh seorang rakan sebaya bernama Asmah. Asmah yang dulunya tidak pernah bergaul dengan lelaki yang bukan muhrim baginya bagaikan terpukau dek sikap dan perilaku Afif di samping merasakan Afif mampu memimpin dia ke jalan yang diredhai.
Secara tidak sengaja, di dalam satu aktiviti di suatu petang, Afif dan Asmah telah dapat berkenalan dengan lebih rapat dan dari situ bermulalah bibik percintaan walaupun pada mulanya mereka berdua ini malu untuk mengaku memandangkan kedua-dua mereka dididik dalam keluarga yang penuh dengan norma dan cara hidup beragama. Namun, nafsu yang menguasai diri telah mengheret mereka ke lembah yang dibenci oleh Allah S.W.T juga Nabi S.A.W. Percintaan mereka berlanjutan selama setahun sehinggalah satu peristiwa yang menyedarkan Afif bahawa perilaku mereka adalah salah di sisi Islam. Oleh itu, Afif memutuskan untuk meleraikan hubungan yang terbina bukannya atas dasar iman itu.
Kini, mereka berdua bebas dari kancah kehinaan dan kembali ke jalan yang diredhai oleh-Nya.
Alhamdulillah...
Malam itu telah berlalu,
Meninggalkan daku sendiri,
Mengenang sebuah kisah,
Yang sering menyapa diari sendiri.
Moral Cerita: Tiada salah mencintai, tapi cintailah yang halal bagi kamu.
Sumber Grafik: Google Image

Nikah Awal Jalan Terbaik???


alt


Zaman sekarang adalah zaman yang sangat mencabar.
Mencabar! Kerana setiap saat, setiap waktu, setiap hari, setiap detik, anak muda remaja dan belia kita dibom dari segenap penjuru dengan pelbagai bentuk godaan peluru berpandu yang membangkitkan naluri seksual masing-masing.
Biasalah apabila sudah baligh, umur meningkat, tiada godaan sekalipun, keinginan akan timbul juga secara automatiknya. Maka secara logiknya, pasti keinginan seksual itu boleh terangsang berpuluh lipat kali ganda dan berlaku pada tahap yang lebih awal lagi. Masalah pergaulan bebas sangat membimbangkan sehingga berlaku penzinaan.
Apakah jalan terbaik untuk selesaikan masalah ini?
Apakah jalan untuk selamatkan spiritual anak kita?
Apakah jalan terbaik untuk selamatkan masyarakat kita?
Tidak boleh hendak menyalahkan ibu bapa yang tidak boleh awasi mereka 24 jam, dan tidak boleh hendak menyalahkan anak muda semata kerana cabaran yang melampau sana sini.
Oleh yang demikian, beberapa langkah boleh diambil bagi meringankan kekusutan masalah ini.
Yang pertama, kahwin awal itu penting, kerana ia menjaga spiritual anak-anak kita dari dikotori.
Maka, masyarakat harus berusaha mencari jalan untuk membolehkan anak-anak muda ini kahwin awal untuk memastikan jiwa dan spiritual anak itu sentiasa bersih. Dan perkahwinan hanya satu-satunya jalan untuk memenuhi keinginan seksual secara sah dan diredhai Allah.
Dan Islam memang menggalakkan anak-anak muda itu supaya kahwin awal. Kerana Islam itu melihat jiwa anak-anak pasti akan terancam lebih-lebih lagi dengan godaan yang datang"attack" dari pelbagai arah dalam masa yang sama. Di dalam al-Quran, Allah berfirman:
"Dan kahwinkanlah orang-orang yang bujang di antara kamu. Jika mereka miskin, Allah akan memberi kemampuan kepada mereka..." (24:32)
Memang benar anak muda diajar untuk berpuasa bagi menahan nafsu, menjaga pandangan dan sebagainya, tetapi sampai bila?
Bukan mudah untuk mengawal keinginan nafsu, dan mereka ini sentiasa berhadapan dengan godaan terus-menerus, setiap detik, setiap ketika, yang boleh mennyebabkan'nerve breakdown', jiwa tertekan, anak muda akan susah hendak memberi tumpuan dalam pembelajaran.
Akhirnya itu yang mencari jalan belakang, jalan senyap-senyap, jalan sembunyi untuk memenuhi keperluan semulajadi ini yang kita usaha untuk cuba elakkan.
Tetapi, hendak kahwin awal bukan senang. Ibu bapa mahu anak-anak habis belajar dahulu, selepas itu, matang pemikirannya, ada kedudukannya, hantaran RM15000-30000 (tepuk dahi), kemudian kewangan untuk anak-anak yang bakal lahir lagi. Maka kahwin awal itu seperti sesuatu yang rumit. Impossible!
Maka, di sini ada disenaraikan beberapa jalan untuk membantu anak-anak muda zaman sekarang kahwin awal:
1. "Kewangan support" dari ibu bapa yang mempunyai kewangan yang baik. Ibu bapa yang berkemampuan memang digalakkan supaya menyokong anak-anak ni supaya kahwin awal dan bantu yang mana perlu. Kalau Islam itu menggalakkan kita untuk menolong orang susah, orang miskin, apatah lagi menolong anak sendiri sehingga mereka boleh berdikari, pasti banyak dan melimpah-ruah lagi ganjarannya.
2. "Komuniti support" . Sekiranya kita mempunyai islamic organisasi yang menyediakan dana untuk menolong anak-anak ini kahwin awal. Mengikut sejarah , satu ketika seorang lelaki ditangkap dan dibawa ke Saidina Ali atas perlakuan yang tidak sopan. Selepas Ali memberikan hukuman yang sepatutnya, beliau mengahwinkan pemuda ini dengan menggunakan kewangan negara. Maka di sini Saidina Ali telah memberi contoh bagaimana masyarakat boleh menolong orang muda untuk berkahwin.
3."Perkahwinan tanpa beban kewangan". Iaitu si teruna dan dara itu bolehlah melaksanakan akad sahaja untuk menghalalkan hubungan. Tetapi mereka boleh tangguh dari membuat majlis perkahwinan yang menelan kos itu, mungkin selepas habis belajar, sudah bekerja, kemudian apabila duit sudah banyak, kita boleh meraikannya. Dan mereka ini dibenarkan saling berjumpa kerana mempunyai hubungan yang halal.
4. Mereka menjalankan akad dan majlis perkahwinan,tetapi tangguh juga dari menimang anak, dan hidup with "simple lifestyle". Maka dengan cara ni juga, mereka dapat memenuhi naluri masing-masing, dan dalam masa yang sama beban kewangan itu dapat dielakkan.
Ya...begitulah beberapa cadangan yang boleh dijadikan panduan tetapi diingatkan di sini, pengawasan ibu bapa, konsultasi dengan ibu bapa sangat-sangatlah penting dan kritikal dalam mengatur perkara ini.
Kami langsung tidak menyokong idea si teruna dan si dara buat keputusan sendiri tanpa"input" dari ibu bapa, dan tanpa mendapat restu hubungan mereka. Ini adalah penting untuk melindungi reputasi pihak perempuan terutamanya jika perkara yang tidak dijangka berlaku. Ibu bapa mainkan peranan yang sangat penting.
Sekiranya kita khusus untuk ibu bapa mengharapkan anak-anak ni supaya kewangan mereka"steady" dahulu selepas itu baru boleh berkahwin, mereka akan mengambil masa yang lama dan berkemungkinan dalam tempoh itu akan berlaku perkara yang tidak diingini.
Maka, apabila kita memahami perspektif dari sudut pandangan Islam yang menggalakkan perkahwinan awal, maka kita boleh lihat bukan perkara mustahil bagi pelajar-pelajar, untuk berkahwin dan dalam masa yang sama meneruskan pelajaran mereka, tinggal bersama di rumah ibu bapa, atau satu bilik yang disewa di universiti. Mereka boleh teruskan kehidupan yang sama mudahnya sepertimana kehidupan mereka sebagai pelajar.
Kahwin awal itu memang digalakkan, tetapi mental dan emosional, ilmu perlu diperlengkapkan supaya masing-masing menyedari tanggungjawab dalam kehidupan berumahtangga. TAQWA, mesti penuh di dada, barulah rumah tangga itu bercahaya.